Hidup Bersama

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Komplek Sejarah Pasir Salak.. Historical place..

Entri kali nie aku nak share pasal sejarah sikit ngan korang.. aku memang suka sejarah.. yelah, kadang2 kala aku rasa kita perlu pandang kebelakang sikit untuk menghargai kehidupan atau perkara yang pernah berlaku pada masa lalu. Baru lah kita lebih menghargai apa yang kita ada pada hari nie.. betul tak? So, aku nak ajak korang mengenali dan mengetahui sejarah Pasir Salak.. aku pergi kat kompleks nie dah lama, tapi baru sekarang terlintas nak publish kat blog.. so, korang baca lah ye..


***************************************

PADA 2 November 1875, adalah tarikh kematian seorang residen British yang angkuh serta biadab. Hasrat James Wheeler Woodford Birch atau JWW Birch untuk terus 'memperhambakan’orang Melayu tidak kesampaian sebaliknya kebiadapan lelaki asing itu menyebabkan nyawanya melayang.
Itulah kemuncak kepada sejarah perjuangan orang Melayu menentang penjajah asing di Pasir Salak, sejarah agung yang akan terus dikenang sebagai bukti perjuangan demi cintakan bangsa, agama dan tanah air.
Sejarah panjang itu bermula pada 20 Januari 1874 apabila Raja Abdullah iaitu seorang daripada kerabat diraja Perak melakukan kesilapan terbesar apabila meminta sokongan British bagi membolehkan dirinya merebut takhta menjadi sultan. Lalu pada tarikh itu, Perjanjian Pangkor dimeterai dengan British mengiktiraf Raja Abdullah menjadi Sultan Perak manakala sultan sedia ada iaitu Sultan Ismail diturunkan daripada takhta. Bagaimanapun, terdapat satu daripada syarat Perjanjian Pangkor yang menjadi helah British bagi membolehkan mereka menjajah Perak - Sultan Perak harus menerima seorang Residen British untuk menasihati baginda memerintah.

JWW Birch kemudian dilantik sebagai residen pertama di Perak umumnya dan Tanah Melayu khususnya. Bagaimanapun, sebaik tiba di Perak, lelaki asing itu mula besar kepala dan berlagak bagaikan dirinya raja yang memerintah Perak. Dia mula ‘memijak kepala’ sultan dengan tidak lagi menghormati peranan dan kuasa diraja dalam sistem pemerintahan orang Melayu. Pelbagai peraturan baru yang menekan pembesar serta penduduk mula diperkenalkan Birch terutama membabitkan cukai yang tinggi. Keadaan itu menambahkan derita penduduk yang kebanyakannya hidup miskin. Birch juga cuba mengambil alih tugas mengutip cukai daripada pembesar Melayu apabila menetapkan syarat baru iaitu hanya pegawai yang dilantiknya saja boleh mengutip cukai manakala cukai Kerajaan Perak akan diurus pegawai British. Syarat itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pembesar Melayu. Lelaki asing itu juga semakin besar kepala apabila sesuka hati campur tangan di dalam adat istiadat penduduk dengan menghapuskan sistem hamba yang sudah lama diamalkan di Perak. Sikap kurang ajar dan keangkuhan lelaki asing itu jelas terserlah apabila dia pernah mengarahkan sultan supaya diam dan mematuhi segala arahannya selaku residen apabila Sultan Abdullah menegurnya kerana membuat pelbagai tindakan tanpa merujuk kepada baginda. Kemuncak kebiadapan Birch adalah apabila dia memaksa Sultan Abdullah menandatangani surat supaya memberi hak kepada British untuk memerintah Perak. Sultan Abdullah diugut akan dilucutkan takhta jika baginda enggan menandatangani surat berkenaan. Ugutan itu menyebabkan baginda mengadakan mesyuarat dengan pembesar negeri di Durian Sebatang pada 21 Julai 1875.

Mereka dimaklumkan mengenai hasrat British untuk mengambil alih pemerintahan negeri serta tugas mengutip cukai. Mendengar penjelasan Sultan Abdullah itu, pembesar semakin berang kepada British yang cuba menjajah Perak.

Satu usul untuk membunuh Birch dikemukakan dan pelbagai cadangan diberikan antaranya dengan meracun, sihir dan menikam lelaki asing itu. Akhirnya mesyuarat bersetuju untuk membenarkan Datuk Maharajalela iaitu pembesar kanan dalam Orang Besar Berlapan Perak serta Penghulu Pasir Salak, membunuh Birch dengan menikam penjajah itu.

Dalam pada itu, Birch terus memberi tekanan kepada Sultan Abdullah untuk membolehkan British menjajah Perak. Tekanan berterusan menyebabkan Sultan Abdullah terpaksa bersetuju menyerahkan Perak untuk diperintah British pada 2 Oktober 1875. Pada 15 Oktober 1875, Gabenor Negeri-negeri Selat iaitu Sir William Jervois mengumumkan yang Perak akan diletakkan di bawah pentadbiran British dan akan diketuai seorang pesuruhjaya. Surat pengisytiharan dicetak untuk ditampal di merata tempat di seluruh Perak. Pada mulanya ia ditampal di kawasan kediaman Birch di Bandar Baharu dengan diikuti istiadat tembakan meriam 21 das. Selepas itu surat berkenaan mula ditampal di tempat lain. Berita itu sampai ke pengetahuan Datuk Maharajalela menyebabkan pembesar itu semakin berang. Dia bertekad untuk tidak membenarkan penjajah itu terus menjajah tanah airnya.Datuk Maharajalela mengarahkan pengikutnya mula membina kubu di Pasir Salak dan mengumpulkan senjata kerana yakin yang Birch akan datang ke kawasannya untuk menampalkan surat pengumuman itu.

Sangkaannya benar apabila rombongan Birch tiba di Pasir Salak menggunakan rumah rakit dan perahu pada malam 1 November 1875. Pagi keesokannya, Birch memerintahkan orangnya naik ke darat dan jurubahasanya iaitu Mat Arshad disuruh pergi ke rumah Datuk Maharajalela dan meminta pembesar itu menghadap lelaki British itu. Bagaimanapun, arahan Birch itu menyebabkan pemerintah Pasir Salak itu melenting, sudahlah lelaki asing itu menceroboh ke kawasannya, berlagak pula bagai raja dengan memerintah untuk menghadapnya. Reaksi Datuk Maharajalela itu segera disampaikan Mat Arshad kepada Birch tetapi lelaki asing itu tetap angkuh. Dia memerintahkan Mat Arshad dan pengikutnya segera menampalkan surat pemungutan cukai oleh British di seluruh pelusuk kampung. Melihat pengikut Birch menampalkan surat berkenaan, penduduk kampung mula berang. Mereka mengoyak surat yang ditampal itu tetapi pengikut British itu tetap meneruskan tugas menampal surat itu tanpa mempedulikan sensitiviti penduduk. Akhirnya situasi tegang mula tercetus. Mat Arshad masih tidak menghiraukan kemarahan penduduk Pasir Salak sebaliknya terus menampal surat pengumuman kutipan cukai di dinding kedai emas di kawasan itu. Tindakan Mat Arshad yang tidak mengendahkan larangan dan sensitiviti penduduk menyebabkan hati Pandak Indut semakin membara. Pengikut Datuk Maharajalela itu meluru ke arah Mat Arshad dan terus mengoyakkan surat yang ditampal lelaki itu.Mat Arshad tidak peduli dan bagaikan mencabar Pandak Indut, dia terus menampal surat pengumuman yang baru. Sekali lagi Pandak Indut mengoyakkan surat berkenaan. Selepas beberapa kali surat berkenaan dikoyak dan melihat Mat Arshad terus menampalkan surat baru, Pandak Indut tidak dapat bersabar lagi. Baginya, lelaki Melayu yang menjadi orang suruhan bangsa asing itu sudah melampau.Dengan pantas Pandak Indut menusuk kerisnya ke jasad Mat Arshad. Lelaki itu mengerang kesakitan dan terus rebah ke tanah. Tindakan Pandak Indut menikam pengikut Birch itu seolah-olah satu isyarat supaya orang Melayu bertindak. Jeritan amarah penduduk bergema membelah langit Pasir Salak. Mereka mula mengamuk dan menyerbu ke rumah rakit Birch sambil merejam lembing. Askar pengawal Birch yang ketakutan melihat amukan dan serbuan penduduk kampung, segera melarikan diri meninggalkan rumah rakit itu tanpa pengawal. Keriuhan di luar menyentak Birch yang sedang mandi ketika itu. Bagaimanapun, ketika dia menyedari yang penduduk kampung mula mengamuk, segala-galanya sudah terlambat.Rejaman lembing penduduk menembusi rumah rakit itu seterusnya menusuk jasad Birch. Penduduk terus merusuh ingin membunuhnya. Dalam keadaannya yang cedera parah, Birch cuba menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam sungai.Ketika dia timbul tercungap-cungap di permukaan air, Si Putum iaitu seorang pengikut Datuk Maharajalela daripada kalangan Orang Asli, dengan pantas menetak kepala lelaki asing itu menggunakan pedang. Darah merah mencemari air sungai dan jasad Birch akhirnya tenggelam dan dihanyutkan arus ...

FAKTA : Implikasi pembunuhan Birch di Pasir Salak

British menyerang Perak dan tercetusnya ‘Perang Perak’ dari November 1875 hingga 1876. Pasir Salak ditawan pada 15 November 1875 selepas bertempur hebat dengan pasukan Datuk Maharajalela, Pandak Indut dan Datuk Sagor. Dalam pertempuran itu, British membakar rumah sepanjang sungai di Kampung Gajah dan Pasir Salak.

Pada 13 Januari 1876, British menawarkan ganjaran RM6,000 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Datuk Maharajalela dan masing-masing RM3,000 untuk penangkapan Datuk Sagor dan Pandak Indut.

Datuk Maharajalela dan pengikutnya menyerah diri kepada British pada 30 Julai 1876 selepas dijanji akan dibicara secara adil di mahkamah.

Pandak Indut didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 20 Mei 1876. Pada 20 Januari 1877, Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan Pandak Indut dihukum gantung sampai mati. Pengikut lain iaitu Kulup Ali, Si Tuah, Panjang Bur dan Ngah Jabor dihukum penjara seumur hidup.

Sultan Abdullah dan pembesar Perak lain seperti Menteri Ngah Ibrahim, Laksamana Wan Muhammad dan Syahbandar Uda Mahamor dibuang ke Pulau Sychelles sementara bekas sultan terdahulu iaitu Raja Ismail, Datuk Wan dan Panglima Perang Semaun dibuang ke Skudai, Johor. Raja Yusof iaitu seorang lagi kerabat diraja, dilantik Sultan Perak yang baru. Sultan Abdullah kemudian dibenar kembali ke Kuala Kangsar pada 1922 dan mangkat di sana.

FAKTA: Isi Perjanjian Pangkor 1874

British mengiktiraf Raja Abdullah sebagai Sultan Perak yang sah menggantikan Sultan Ismail. Sultan Ismail akan diberi gelaran lain (Sultan Muda) dan diberi pencen RM1,000 sebulan serta jajahan kecil untuk ditadbir.
Sultan bersedia menerima seorang Residen British sebagai penasihat. Nasihat residen mesti diminta dan dipatuhi dalam semua perkara kecuali hal bersangkutan agama Islam dan adat istiadat Melayu.
Pungutan semua hasil negeri dan pelantikan dibuat atas nama sultan tetapi menerusi nasihat residen. Gaji residen dibayar oleh sultan dan bukannya Kerajaan British.
Semua pelantikan yang dibuat ketika pemerintahan Sultan Ismail dulu, diiktiraf.
Kuasa yang Al-Marhum Sultan Jaafar Muazzam Shah kepada Menteri Larut iaitu Ngah Ibrahim disahkan tetapi beliau tidak lagi diiktiraf pemerintah yang merdeka sebaliknya mesti menerima seorang penolong residen untuk membantunya mentadbir Larut.
Sempadan Pulau Dinding dan Pangkor yang diserah kepada British menerusi Perjanjian Low dipindahkan semula. Tindakan sama diambil ke atas sempadan Sungai Kerian.

sumber: Sejarah Malaysia Edisi Kedua, Mereka Bukan Penderhaka dan Pahlawan Pasir Salak.
 
*****************************************
 
Kalau korang nak rasa lebih dekat dengan sejarah Pasir Salak nie, aku rekomen korang untuk datang sini sendiri. Yelah, kalau dapat tengok sendiri tempat bersejarah mesti akan terus terpahat dalam minda dan hati. Selama nie kita cuma belajar melalui bacaan sahaja. Kompleks Sejarah Pasir Salak nie dibina khas untuk mengenang kembali sejarah perjuangan pahit getir pahlawan Melayu seperti Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela dalam menentang penjajah di Perak. Kompleks ini telah dibuka dengan rasminya oleh DYTM Raja Nazrin Shah pada 26 Mei 1990 dengan idea penubuhannya diilhamkan oleh bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib
 
 
 

Inilah 'Sundang' iaitu sejenis senjata Melayu berbentuk pedang yang digunakan dalam pembunuh JWW Birch. Jasa kesemua pahlawan diabadikan menerusi pembinaan memorial ini.

 

Tugu peringatan tempat terbunuhnya residen British yang telah membangkitkan kemarahan rakyat di Pasir Salak. Birch telah dibunuh ketika sedang mandi di sungai ini..


 Sungai yang menjadi tempat terlakarnya sejarah kebangkitan semangat perjuangan pahlawan Melayu pada detik itu. Di sungai ini jugalah mengalir darah penjajah yang telah mencabar kesabaran pahlawan kita.



Memasuki Terowong Sejarah ini tidak sekadar mengembalikan nostalgia pengunjung ke zaman silam, tapi dapat menyuntik semangat nasionalisme ke dalam diri kita. Lebih 600 artifak dipamerkan seperti senjata lama, tembikar dan peralatan lama selain 42 'diorama' iaitu replika patung kecil yang disusun sepanjang terowong bagi mengambarkan sejarah perjuangan orang Melayu di setiap negeri di Tanah Melayu.

Aku sendiri betul-betul kagum dengan penceritaan melalui diorama-diorama tu. Aku cadangkan setiap orang mesti datang melihat sendiri diorama nie sebab dari situ kita dapat gambaran yang betul-betul jelas tentang perjuangan anak bangsa kita dalam memerdekakan tanah air kita. Disebabkan perjuangan mereka lah, kita mampu hidup dengan tenang hari nie.

Selain tu, di Kompleks nie kita dapat mengenali rumah tradisional orang Perak, iaitu Rumah Kutai. Rumah ini banyak terdapat berhampiran dengan tebing sungai Perak iaitu di Daerah Tengah, Hilir Perak dan Kuala Kangsar

Rumah Kutai ialah rumah berbumbung panjang. Di sudut dinding tepinya dipasang tabir layar yang dibuat dari pelupuh yang berkelarai manakala di bawah kaki tebar layar terdapat pula alang para buang (peran) iaitu merupakan ruang yang beratap dan berlantai sebagai tempat menyimpan barang-barang.

Rumah Kutai mengandungi 12 ataupun 16 tiang pada rumah ibunya. Rumah ibu pula terdiri dari ruang serambi, ruang tamu dan bilik. Di sebelah belakangnya ialah rumah dapur yang di pisahkan oleh ruang dapur yang di pisahkan oleh ruang selang yang tidak beratap. Bahan-bahan binaan ialah dari kayu dan buluh. Kayu digunakan untuk tiang dan rangka bumbung manakala dindingnya dari pelupuh dan atapnya ialah atap rumbia.

Terdapat juga rumah Kutai yang tidak memiliki dinding pembahagi bilik, sebaliknya, menggunakan kain langsir sebagai pembahagi ruang bilik.

Aku memang minat mendalami sejarah, almaklumlah.. dulu aku berminat nak jadi lawyer tapi dihalang sekeras-kerasnya oleh mak aku. Sebab? biarlah aku ngan mak je yang tau.. hehehe.. Walaupun aku tak dapat capai kerjaya idaman, tapi aku tetap berminat untuk mendalami sejarah. Aku harap kemakmuran yang kita ada nie dapat dikekalkan sampai bila-bila. Sekarang memang Melayu lebih hanya tinggal pada nama, tapi sekurang-kurangnya walau macam mana cara hidup kita, bahasa pertuturan kita.. tapi darah yang mengalir dalam diri kita tetap darah Melayu. Biar pun sekarang kita hidup dalam masyarakat majmuk, tapi jangan pulak kita mengorbankan identiti kita demi mengejar kemajuan.

Ingatlah kata azimat pahlawan Hang Tuah, takkan Melayu hilang di dunia... Sama-samalah kita pertahankan jati diri kita. Sekurang- sekurangnya kita dah melaksanakan tanggungjawab kita pada anak cucu kita pada masa akan datang...

nantikan cerita pahlawan lain pada entri akan datang.. tungguuuu....


Sempat jugak pose sebelum balik.. hehehe... 




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...