Dah banyak kali aku baca kisah ibu & anak nie.. tapi penceritaan penulis blog nie sangat kemas & menyentuh hati aku..
maka.. aku nak kongsikan dengan korang semua..
*************************************
Penceritaan operasi jenayah bukan sekadar statistik semata-mata. Bukan. Jika begitu, tak perlu menyertai operasi, sebaliknya tunggulah statistik tangkapan dan tidurlah nyenyak nyenyak di rumah.
Pernah,
saya menyertai satu operasi di Muar, dan kami bertolak dari Johor Bahru
kira-kira jam 10 malam dan operasi selesai jam 6 pagi. Kami terus
pulang ke Johor Bahru. Sepanjang perjalanan, saya yang memandu sendiri
berhenti hampir tujuh kali kerana terlalu mengantuk.
Berhenti
untuk mencuci muka. Bekalan air mineral di dalam kereta berguna waktu
ini. Jurukamera sudah nyenyak dibuai mimpi. Ditahankan mata yang bagai
digam gam rasanya.
Pulang
ke Johor Bahru, biar bantal memanggil, terpaksa diketepikan. Perlu
disiapkan berita yang operasi itu untuk siaran berita tengahari. Bukan
mudah. Selesai segalanya, jam sudah hampir 11 pagi. Jam dua pula ada
satu lagi tugasan. Begitulah kehidupan. Kais pagi makan petang, jika tak
dikais, memang tak makanlah.
Saya
lebih cenderung kepada kisah human interest seperti satu operasi yang
saya ikuti bersama sahabat sahabat baik di Cawangan Trafik Johor Bahru
Selatan yang bersengkang mata tanpa mengira masa membanteras kegiatan
lumba haram.
(Lama
tak berminum teh setengah gelas bersama sahabat sahabat saya ni.
Mungkin mereka sibuk atau kasih dah pudar pada saya. Hahah. Mereka
memang membaca blog ini dan saya pasti, mereka akan menghubungi saya
selepas ini!)
Antaranya
termasuk kisah seorang budak lelaki berusia 13 tahun yang pada mulanya
begitu yakin memberi jawapan kepada pegawai serta anggota polis trafik,
dia dibenarkan menunggang motosikal oleh bapanya, yang juga pemilik
kenderaan itu.
Dia antara yang ditahan dalam satu operasi rutin pada 17 November lalu.
Sebagaimana
lazim, pegawai polis bertugas menghubungi ibubapa pelajar itu dan
selepas menanti hampir dua jam, akhirnya muncul ibubapanya di tepi jalan
Danga Bay.
Dari jauh, tampak si ibu bagai meluru tak sabar sabar untuk tiba ke tempat anak lelakinya berdiri.Si ayah pula berjalan lesu. Waktu tika itu hampir jam empat pagi.
Sebaik
tiba di depan anaknya, tanpa lengah si ibu bagai melepas geram terus
mencubit dan menampar badan anaknya. Kami terpinga pinga melihatkan
situasi itu lantas beberapa anggota polis trafik meredakan keadaan.
Terkedu
anaknya yang dua jam lalu, beriya-iya mendakwa ibubapanya sudah memberi
keizinan untuk dia menunggang motosikal milik bapanya dan turut
dibonceng rakan sekampung berusia 16 tahun.
Ketika
cuba ditahan, dia melarikan diri dari sekatan jalanraya dan turut
menendang motosikal anggota penguatkuasa yang mengejar mereka!
"Masuk
lokap jek encik. Masuk sekolah jahat Henry Gurney. Tak apa, saya rela,"
tercetus akhirnya luahan hati si ibu sebaik diredakan.
"Aku
tak boleh kawal kau lagi. Kat sekolah kau anak murid aku, kat luar aku
tak boleh kawal kau seorang. Selama ini kau cakap tak goyang, tak
goyang, tengok semua polis ni, tengok.
"Kalau
dahi ni tak sujud pada sejadah, inilah jadinya," berterusan si ibu
melepaskan geram bagai sebuah drama realiti di depan hampir 50 pegawai
dan anggota polis serta anggota Rela yang turut bersama-sama dalam
operasi itu.
Suasana
menjadi sunyi dan hanya kedengaran suara si ibu. Semua memerhati. Semua
bagai menyokong tindakan si ibu. Mat mat rempit lain yang ditahan
sebelum ini sibuk berbual sesama sendiri turut kaku melihat adegan itu.
Mungkin timbul keinsafan dalam diri mereka?
"Dia
cakap, ibu keluar, saya cakap malam minggu jangan keluar. jangan,
jangan. Tak tengok kat TV (orang kena tangkap)," luah si ibu dan
suaranya beriring nada kekesalan.
"Bila
kita marah, dia cakap nak rompak rumah orang. Tak kurang ajar punya
anak? Sampai hati kau jadi anak macam ni. Budak sekolah pukul 10 duduk
rumah," kata si ibu lagi dan kali ini nada sudah berselang kesedihan.
Tatkala
itu, sudah mula mengalir airmata si ibu. Si anak hanya tunduk kaku, tak
seperti tika selepas ditahan dua jam sebelum itu, ceria, beriya iya.
Si
ayah tak mampu nak berkata kata. Mungkin sudah puas dileteri anaknya
itu. Mungkin sudah kering airmata si ayah memikirkan kedegilan anaknya
tika dia keluar mencari rezeki buat kesemua anaknya.
Bagi meredakan keadaan, seorang pegawai polis, Inspektor Mohd Lail Fajiri Ab Halim yang mengetuai operasi itu, mencelah.
"Kami akan charge (tuduh) dia lari dari sekatan jalan," kata Mohd Lail tegas.
Mungkin mendengar penjelasan ringkas Mohd Lail itu, tercetus luahan si ibu lagi.
"Kat
rumah berapa kali dia nak tumbuk saya. Sekarang ni apa? Aku ni mak kau.
Hari-hari aku doa, Ya Allah jadikanlah anak aku golongan yang
baik-baik. Tapi kau apa? Ibu mampus, ibu mampus."
Ketika
ini, si ibu mencucuk cucuk perut si anak. Hilang segala kehebatan si
anak. Akhirnya ibubapa juga yang datang. Biar marah, kesemua yang
menyaksikan bagai mengerti, dia tetap anaknya. Dia tetap darah
dagingnya. Mungkin sudah kemuncak kemarahan si ibu.
"Nanti puan datang ke balai trafik untuk jamin anak makcik," jelas Mohd Lail lagi.
Sambil
menjeling marah ke arah anaknya, si ibu dengan cepat menjawab: "Jamin
kau? No, no. Ibu tak akan jamin kau, tak ada tak ada," katanya bagai
puas, biar malam itu menjadi pengajaran buat si anak yang degil itu.
Si ibu berlalu pergi.
Lantas,
Mohd Lail mengarahkan anak buahnya untuk membawa pelajar itu ke balai.
Tak sempat dibawa, pelajar itu meraung raung menangis mengejar
ibunya.
Sekali
lagi kami kaget. Si ibu tak memperdulikan. Kami yang melihat bagai
menyokong tindakan si ibu. Biarkan dia rasa. Biar dia serik. Biarkan.
Itulah kata hati kami. Kami pun marah. Apatah lagi mendengar luahan hati
si ibu di pagi yang bening itu.
Berterusan
suara si anak merintih pada ibunya. Semakin jelas suaranya. Si ibu
berhenti. Dibiarkan anaknya menangis, meraung di depannya. Direnungnya
anaknya itu.
Siapa
tak sayang anak. Tentu wanita itu ibu yang baik. Apatah lagi sebagai
seorang guru, sifat penyayang tinggi dalam diri mereka. Tampak wajah
amarah si ibu sudah bertukar menjadi simpati dan penuh kasih sayang,
tatkala si anak menarik narik tangan yang sama mengendong dia ketika
kecil, memimpinnya ketika melintas jalan, menepuk nepuk tika mahu tidur.
Akhirnya si ibu mengalah. Dipimpin tangan anaknya ke kenderaan polis. Berdiri kaku si ibu melihat si anaknya di bawa pergi.
Selepas
segala proses selesai, saya terserempak dengan si ibu berjalan keluar
dari balai beriring dengan bapa pelajar itu. Dan di sebelahnya, anaknya
tadi, tangan dipimpin erat, kuat kuat bagai tak mahu melepaskan anaknya
itu.
Saya
sempat bertegur. Menasihat si anak, jika tak kesian pada diri sendiri,
kesianlah pada mak ayah. Kesian mereka berhempas pulas membesarkan awak.
Esok awak dah kahwin, awak nak anak awak macam awak?
Tertunduk
diam si pelajar itu. Saya tepuk bahunya beberapa kali dan sempat
berkata padanya, awak mesti anak yang baik sebab tu awak menangis minta
maaf pada mak tadi. Dan sempat saya mengucapkan terima kasih kepada si
ibu dan ayah kerana tak putus asa dengan kasih sayang pada si anak yang
degil ini. Tersenyum si ayah. Bagai mereda hati si ibu.
Itulah
antara kisah kisah kecil yang mahu saya jadikan iktibar untuk kita
semua. Kongsilah dengan sesiapa, pada anak anak, pada anak saudara atau
mungkin pada diri sendiri. Jahat mana sekalipun, ibu ayah tetap
bersengkang mata buat anak-anak. Biar sakit lutut, biar membuai diri dek
tak lena tidur, demi anak!
Itu
hanya sekelumit. Saya memang mahu berkongsi segala kisah di sini tetapi
kadangkala masa tak mengizinkan. Yelah kais pagi makan petang. Kalau
tak dikais, mahu tak makan petang nanti kan.
sumber : http://www.crimewatch.my
p/s : duhai anak-anak.. tiada seorang ibu yang mahu anaknya menjadi anak yang jahat.. semua ibu maukan anak mereka menjadi anak yang berguna kepada bangsa, agama dan negara.. anak yang mempunyai akhlak yang indah seperti akhlak Rasullah s.a.w. kalau ibu marahkan kamu.. marah itu untuk kebaikan.. kalau ibu berleter kepada kamu.. leteran itu untuk mengingatkan kamu.. terima lah teguran itu kerana itu tandanya mereka masih sayangkan kita.. sementara mereka masih ada.. janganlah kita terburu-buru mengikut amarah dan nafsu.. kerana kitaran hidup akan berlaku.. satu hari nanti.. kita juga akan berada di tempat mereka.. maukah kita mengalami nasib seperti mereka.. mempuanyai anak yang nakal seperti mana kita yang nakal itu..
nauzubillah...
p/s : duhai anak-anak.. tiada seorang ibu yang mahu anaknya menjadi anak yang jahat.. semua ibu maukan anak mereka menjadi anak yang berguna kepada bangsa, agama dan negara.. anak yang mempunyai akhlak yang indah seperti akhlak Rasullah s.a.w. kalau ibu marahkan kamu.. marah itu untuk kebaikan.. kalau ibu berleter kepada kamu.. leteran itu untuk mengingatkan kamu.. terima lah teguran itu kerana itu tandanya mereka masih sayangkan kita.. sementara mereka masih ada.. janganlah kita terburu-buru mengikut amarah dan nafsu.. kerana kitaran hidup akan berlaku.. satu hari nanti.. kita juga akan berada di tempat mereka.. maukah kita mengalami nasib seperti mereka.. mempuanyai anak yang nakal seperti mana kita yang nakal itu..
nauzubillah...
No comments:
Post a Comment